Thursday, 17 May 2018

JURANG PERBEZAAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR BERDASARKAN FAKTOR JANTINA



1.0 PENGENALAN


Jantina memainkan sebagai salah satu faktor sosial yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar iaitu khususnya tahap penerimaan dan penguasaan pelajar akan sesebuah mata pelajaran. Kajian berkenaan pengaruh jantina terhadap pencapaian Matematik telah banyak dilakukan di seluruh dunia. Kajian oleh Zalizan dan rakan-rakan (2010) terhadap keputusan UPSR, PMR dan SPM dalam matapelajaran Matematik pada tahun 1996 hingga 2000 mendapati pelajar perempuan mempunyai ciri-ciri positif yang menyumbang kepada pencapaian prestasi akademik yang lebih baik berbanding lelaki. Selain itu kajian Abd Wahab (2014) turut mengkaji perbezaan keputusan peperiksaan percubaan Matematik berdasarkan jantina. Hasil kajian mendapati pencapaian pelajar perempuan semakin bertambah malah semakin jauh meninggalkan pelajar lelaki pada tahun 2000 hingga 2003, meskipun bilangan pelajar lelaki adalah melebihi calon pelajar perempuan. Tambahan pula tinjauan yang telah dijalankan oleh Sutherland dalam Tinklin, Croxford, Frame dan Ducklin (2012) juga telah menyatakan bahawa pencapaian pelajar perempuan dalam matapealajaran Matematik lebih baik berbanding pelajar lelaki adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh dunia.

 

2.0 KAJIAN LEPAS


Merujuk kepada kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2011), pelajar perempuan menunjukkan prestasi keputusan dalam matapelajaran yang lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1996 hingga 1999. Justeru Kajian Zalizan dan rakan-rakan (2010) juga menunjukkan pelajar perempuan cenderung menggunakan gaya pembelajaran Concrete Sequential (CS) dan Abstract Sequential (AS) lebih tinggi berbanding pelajar lelaki. Ini memberi implikasi pelajar perempuan melakukan tugasan dengan lebih teratur, mengikut jadual, memberi perhatian kepada teori, hipotesis dan penganalisaan. Manakala pelajar lelaki cenderung kepada gaya pembelajaran Concrete Random (CR) dan Abstract Random (AR) lebih suka membuat tugasan yang bersifat ujikaji, dan menyelesaikan masalah secara rawak. Ini merupakan satu faktor murid perempuan mencapai pencapaian yang lebih baik daripada lelaki. Nursuhaili (2013) jelas, pelajar perempuan akan belajar bersama dan berkongsi pendapat sekiranya terdapat sebarang keraguan. Dengan aktiviti seperti ini, pelajar perempuan lebih menguasai pelajaran Matematik yang dipelajari dan mendapat pencapaian yang lebih baik.

Setersusnya menurut Syarifah Alwiah Alsagoff (2014), segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebaya. Disebabkan pergaulan dengan rakan-rakan yang tidak minat untuk menimba ilmu, pelajar lelaki tidak menguasai pelajaran yang dipelajari kerana tidak membuat latihan yang diberi dan hilang fokus dalam kelas. Maka, pencapaian mereka adalah lebih rendah berbanding pelajar perempuan. Setersunya kajian Ismail, 2016 pula, mendapati pelajar lelaki dan perempuan tiada masalah dengan guru lelaki, tetapi pelajar lelaki bermasalah dengan guru perempuan. Keadaan ini mungkin disebabkan ketidakserasian antara gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki. Pelajar perempuan cenderung menggunakan strategi lebih konkrit seperti menggunakan model dan membilang, manakala pelajar lelaki pula cenderung menggunakan strategi yang lebih abstrak yang mencerminkan konsep kefahaman mereka (Fennema, Carpenter & Jacobs, 2011). Tambahan pula faktor kematangan juga menjadi penyebab kepada menurunnya pencapaian Matematik pelajar lelaki berbanding perempuan. Matang merujuk kepada tahap kefahaman dan pengetahuan mengenai sesuatu, serta mempunyai tingkah laku yang memperlihatkan pemikirannya. Ini menyebabkan pelajar perempuan lebih mudah memahami yang soalan yang diajukan dalam matapelajaran Matematik (Ab Manan. et.al (2013). Justeru Bhasah Abu Bakar, (2015) menjelaskan faktor afektif merupakan salah satu perkara yang menyebabkan terjadinya jurang pencapaian dalam kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam matapelajaran Matematik. Pelajar lelaki lebih berminat kepada soalan kemahiran seperti unjuran ortogon pada garis satah dan sudut antara dua satah, gabungan penjelmaan, mencari luas, pelan dan dongakan, latitude, longitut dan jarak. Manakala pelajar perempuan berminat semua topik dalam Matapelajaran Matematik. Hasil kajian Mat Hasrizam Said (2014) mendapati bahawa pelajar perempuan mempunyai sikap yang positif dalam pembelajaran Matematik berbanding pelajar lelaki. Oleh sebab itu, pelajar perempuan telah mendominasi Matapelajaran Matematik.

Tambahan pula guru perempuan pula mempunyai pandangan yang kurang positif terhadap pelajar lelaki. Keadaan ini boleh mempengaruhi tingkah laku dan sikap guru terhadap pelajar, Brophy dan Evertson (2010) dan Bank (2011). Ini menyebabkan guru lebih memberi perhatian kepada pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki. Menurut Arsaythamby (2015), beliau menyatakan bahawa tabiat mempelajari Matematik mempunyai hubungan signifikan yang positif terhadap pencapaian Matematik. Pelajar lelaki majoritinya yang tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan kurang membuat latih tubi yang diberikan oleh guru berbanding pelajar perempuan. Ini membuktikan pelajar perempuan mempunyai tahap kesediaan dan kemahiran yang tinggi dalam mempelajari Matematik dan mempengaruhi tahap pencapaian mereka dalam Matematik.



Peratusan Kelulusan Matematik PMR Mengikut Jantina (1996-2000)

Peratusan Kelulusan Matematik SPM Mengikut Jantina (1996-2000)

 




3.0 CADANGAN PENYELESAIAN


Guru perlu mempelbagaikan strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan. Mereka perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan pelajar serta menghapuskan halangan pembelajaran. Guru boleh mengubahsuai suasana di dalam bilik darjah seperti mobiliti, bunyi dan persekitaran bilik darjah tersebut memenuhi profil gaya pembelajaran yang lebih digemari pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan. Justeru, guru perlu mengambil kira keadaan serta ruang belajar di dalam bilik darjah yang lebih kondusif serta selesa dengan keperluan pembelajaran pelbagai pelajar mereka. Seterusnya, Kursus pendidikan guru dan latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri perlu memberi fokus terhadap perbezaan gaya pembelajaran mengikut jantina bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pendidikan guru juga dicadang memberi penekanan kepada kurikulum pendidikan yang lebih sensitif kepada jantina. Keprihatinan mengenai kepelbagaian gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan ini juga membolehkan ibu bapa menyediakan persekitaran lebih sesuai serta memberi motivasi dan galakan pembelajaran bersesuaian. Kementerian Pendidikan Malaysia juga harus mengadakan ceramah dan bengkel di sekolah untuk menggalakkan pelajar lelaki mendapat keputusan yang cemerlang dalam matapelajaran Matematik. Melalui cara ini kita dapat memupuk semangat belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh dalam kalangan pelajar lelaki. Dengan ini, pelajar lelaki dapat bersaing secara sihat dengan pelajar perempuan dalam matapelajaran Matematik.



RUJUKAN

Arsaythamby (2015). Sex differences in examination performance at 16+. Physics Education, 14, 280–288.

Bhasah Abu Bakar, (2015). The psychology of sex differences. Stanford, CA: Stanford University Press

Brophy dan Evertson (2010) and Bank (2011). Common functions of school problem. Child Study Center, 7(2), 1-5

Dunn (2016). Pemikiran dalam Pendidikan. Shah Alam. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.Ismail, 2016. Jurang Akademik antara Pelajar Perempuan dan Lelaki.

Fennema, Carpenter & Jacobs, 2011. Achievement goals in the classroom: Students’ learning strategies and motivation processes. Journal of Educational Psychology 80 (3): 260-267.

Kajian Abd Wahab (2014). Faktor-faktor yang mempengaruhi gaya pembelajaran dan kesannya terhadap pencapaian akademik. Projek Sarjana Sains (Pengurusan).Sintok. Universiti Utara Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2011) Jurang pencapaian akademik mengikut gender pp. 135-146. ISSN 2180-1630

Mat Hasrizam Said (2014). Learning Styles, Feelings And Beliefs About Technology And Mathematics Achievement. Ph.D. The Clavemont Graduate School. Dissertation Abstracts International 56 (12). 4691.

Nursuhaili (2013) Pencapaian pelajar mengikut gaya belajar dan bentuk pentaksiran.

Siti Khaidah Bt Ab Manan. et.al (2013). Kajian Mengenai Pencapaian Akademik Pelajar-Pelajar Di Uitm Shah Alam: Satu Analisa Perbandingan Antara Jantina. Institut Penyelidikan, Pembangunan & Komersialisasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sutherland Tinklin, Croxford, Frame dan Ducklin (2012). Research on the educational differences among boys and girls, Journal of Educational Psychology, 75, 631-661.

Syarifah Alwiah Alsagoff (2014). Educational reforms and gender equality in schools. Dalam Gaine, G. dan George, R. "Gender, 'race' and class in schooling: A new introduction". London: Falmer Press.

Zalizan Mohd Jelas, Saemah Rahman, Roselan Baki & Jamil Ahmad. 2010. Prestasi Akademik Mengikut Gender. Jurnal Pendidikan 30:93 – 111.





Pendidikan Matematik

Lokus Dalam 2 Dimensi

JURANG PERBEZAAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR BERDASARKAN FAKTOR JANTINA

1.0 PENGENALAN Jantina memainkan sebagai salah satu faktor sosial yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar iaitu khususnya ...